Showing posts with label perjuangan. Show all posts
Showing posts with label perjuangan. Show all posts

Wednesday, 29 January 2014

Ilmu Yang Sahih

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ   
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatu

Penulis bersyukur kepada Allah s.w.t, kerana zaman ini makin ramai yang ingin berhijrah daripada jahil atau tidak berilmu dalam agama ke arah mencari jalan yang diredhai Allah. Lebih-lebih lagi ramai belia yang makin suka berdakwah melalui alam siber ini. Namun begitu kita perlu tahu yang mana Haq dan yang mana Bathil. 

"Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka." (Muhammad 47:2)

Allah juga berfirman,
"Jika mereka yang kamu seru itu tidak menerima seruanmu (ajakanmu) itu maka ketahuilah, sesungguhnya Al Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah, dan bahwasanya tidak ada Tuhan selain Dia, maka maukah kamu berserah diri (kepada Allah)? " (Huud 11:14)

Allah ajarkan kepada kita ilmu-ilmu supaya kita dapat melalui jalanNya dengan izinNya. Ingat! Apa yang penulis tekankan disini adalah Allah yang mengajar kita, kerana Allah Maha Mengetahui, melalui Rasulullah s.a.w, oleh kerana itu kita perlu berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah RasulNya, sejajar dengan satu hadis Rasulullah s.a.w. ketika khutbah Jumaat terakhir baginda,

Rasulullah bersabda " Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya." 

Jadi di sini, penulis ingin kongsikan kepada pembaca-pembaca, atas sebab di laman sosial kini, ramai juga yang suka share hadis-hadis yang palsu namun begitu ramai juga yang akan share kan kembali tanpa mengetahui sama ada sesuatu hadis itu sahih atau tidak. Peringatan, apabila kita post sesuatu hadis Rasulullah yang palsu, ia umpama kita mengatakan apa yang Nabi tidak pernah beritahu, jadi itu dikira perkara yang diada-adakan atau dengan kata kasarnya fitnah. 

Berikut adalah jenis-jenis hadis yang utama :
1) Hadis Sahih
Hadis yang cukup sanadnya dari awal sampai akhir dan oleh orang-orang yang sempurna hafalannya.
Syarat hadis sahih, iaitu:
a. sanadnya bersambung,
b. perawinya sudah baligh
c. berakal
d. tidak mengerjakan dosa
e. sempurna hafalannya
f. perawi yang ada dalam sanad itu adil dan hadis yang diriwayatkannya tidak bertentangan dengan ayat Al Quran.


2) Hadis Hasan
Hadis yang berhubung/bersambungan sanad dari permulaan hingga akhir dan periwayat-periwayat tersebut bersifat seperti Al-Hadis Sahih, tetapi mereka tidak mempunyai ingatan yang kuat. Disegi hafalannya kurang dari hadis shahih.


3) Hadis Dho'if
Hadis yang tidak bersambung sanadnya, atau di antara sanadnya ada orang yang cacat. Cacat yang dimaksud, rawinya bukan orang Islam, atau belum baligh, atau tidak dikenal orang, atau pelupa/pendusta/fasik dan suka berbuat dosa.


4) Hadis Maudhuk' [Hadis Palsu]
Hadis yang diriwayatkan oleh mereka dengan mendustakannya dari Nabi saw pada halnya nyata tidak. (Diriwayatkan berdasar kepentingan tertentu).


Sekiranya ingin belajar dengan lebih lanjut berkenaan hadis, silalah rujuk guru-guru, ustaz-ustaz, syeikh, ulama', dan juga orang-orang yang lebih pandai dari segi ilmu hadis. Carilah mereka yang lebih pakar dalam ilmu hadis, malah di luar sana juga terdapat kitab-kitab dari imam bukhari, muslim, abu dawud dan sebagainya, malah terdapat juga di online. Jadi tiada sebab untuk kita katakan yang susah untuk cari ilmu atau tiada masa sedangkan Allah beri kita cukup sifat untuk berfikir. UMAT ISLAM ITU PANDAI. 

Moga pembaca dapat manfaat dengan izin Allah s.w.t . 

Be Postive...
Alhamdulillah
Peace  

Monday, 27 January 2014

Akhlak itu Penting?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatu

Terima kasih diucapkan dahulu kepada pembaca-pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membaca apa yang ingin penulis sampaikan. Inilah entri pertama selepas kita menyambut Tahun Baru Masihi, maaf dipinta atas penulis tida meng'update'kan blog ini walaupun sudah tumbuh sesawang yang agak banyak dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pembaca-pembaca yang ada alergik kepada habuk. 

Tajuk kali ini penulis ingin bertanyakan, adakah akhlak itu penting? Kenapa penting? perlukah kita berakhlak baik? Adakah akhlak ini boleh mempengaruhi kehidupan seharian kita?

Apa itu akhlak? Menurut bahasa yang dikaji oleh penulis, akhlak bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat, kebiasaan. Kita ada akhlak yang baik dan juga akhlak yang tidak baik. Sekiranya bertanyakan kepada pembaca yang mana perlu kita ada? pasti para pembaca menjawab akhlak yang baik. Mengapa?

Mari kita berfikir, bagaimana akhlak seseorang itu dapat mempengaruhi orang berdekatan yang lain, tidak kira di sekolah, tempat kerja, rumah atau juga tempat-tempat awam. Contohnya, akhlak sebagai guru, pastinya guru tersebut perlu menunjukkan contoh yang baik, kerana murid-murid atau pelajar-pelajar memandang tinggi ke atas guru-guru mereka yang mempunyai ilmu yang lebih dari diri mereka. Sama juga sebagai seorang ibu bapa yang dipandang anak sebagai guru nombor satu atau pemimpin, dan juga kakak atau abang di dalam sebuah keluarga. 

Di dalam negara juga sama, apabila rakyat-rakyat, pengikut-pengikut seseorang pemimpin, pasti akan memandang tinggi ke atas ketua-ketua mereka, secara logiknya, pemimpin yang berakhlak baik pasti mempunyai pengikut-pengikut yang berakhlak baik dan juga sebaliknya. Namun apa yang ingin pembaca tekankan di sini adalah supaya pembaca-pembaca sekalian cuba membukakan mata dan lihat keadaan kita sekarang.

Adakah akhlak kita boleh dikategorikan baik? Kenapa tidak? Sedangkan kita ini adalah umat Muhammad s.a.w?
Sedangkan ada juga pihak yang suka pecah belahkan sesama muslim sendiri, dengan cara-cara mereka sendiri. Mengapakan berlakunya sedemikian? 

Allah berfirman,
"Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik." (Al-A'raf 7:56)

Rahmat Allah amat dekat pada orang-orang yang berbuat baik, jadi bagaimana kita ingin berbuat baik? kepada siapakah yang kita perlu contohi? Mengikut pendapat pembaca semua, siapakah manusia yang sempurna?

Sudah pasti Nabi Muhammad s.a.w, Rasulullah terakhir yang diutuskan untuk kita sebagai pembawa berita gembira dan peringatan. 

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. " (Al-Ahzab 33:21)

Di sini, penulis berharap pembaca-pembaca dapat manfaat dari penulisan ringkas dalam tajuk akhlak ini. Ingin penulis ingatkan kepada pembaca-pembaca di luar sana, termasuk juga kepada yang ingin menjadi ustaz dan ustazah, pendakwah-pendakwah, rakyat Malaysia, manusia-manusia biasa, jagalah akhlak kamu dari segi perbuatan, percakapan dan juga penulisan. Janganlah berhujah atau berkata mengikut sangkaan atau nafsu amarah kerana kita adalah umat ISLAM, umat yang SEJAHTERA. Al-Quran dan Sunnah RasulNya, back to basic.

Peace

Saturday, 28 September 2013

Mata Melihat Alam

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatu

Dunia kini menjadi ujian kepada kita manusia di akhir zaman, pelbagai perkara yang terjadi di sekeliling dunia. Setiap negara ada isu-isu dan masalah-masalahnya tersendiri. Contohnya, kemiskinan, taraf hidup meningkat, perbezaan fahaman, politik yang huru-hara dan tidak stabil, isu agama, dan bermacam lagi.

Kita mempunyai hawa nafsu termasuklah penulis sendiri, setiap yang digelar manusia itu pasti akan membuat kesilapan. Bezanya cuma antara kita sedar atau tidak, setiap individu atau sesebuah kesatuan pasti mempunyai perjuangan masing-masing. Atas nama perjuangan walaupun berbeza pendapat yang kecil, kita akan cuba membesar-besarkan perkara itu lalu terjadilah perbalahan yang menyebabkan terhasilnya isu-isu baru. Sekiranya beginilah cara hidup kita, sampai bila-bila kita tidak akan AMAN. 

Pemikiran taksub atau radikal amatlah merbahaya, terlampau taksub kepada pemimpin, taksub kepada kehidupan mewah dan berharta, taksub kepada ajaran-ajaran yang diajar oleh seorang guru kepada anak muridnya, dimana ajaran itu hanyalah mengikut ideologi atau sangkaan semata-mata. Penulis bukanlah ingin mengutuk atau merendahkan seseorang atau sebahagian manusia, tetapi penulis ingin para pembaca lapangkan dada, bukalah minda dan lihatlah menggunakan mata yang diberikan Allah ini, lihatlah apa yang terjadi sebenarnya, jangan mengambil sikap tidak peduli kerana kita akan dipersoalkan kelak. Muhasabah diri la wahai pembaca semua, pesanan ini untuk diri penulis yang juga hina ini. 

Bukalah mata, IQRA' lah dunia, Bangkitlah dari tidur semua, Supaya generasi di masa hadapan akan hidup sejahtera. Insyaa Allah



Peace
Alhamdulillah
 

Tuesday, 28 May 2013

Perlukah Perjuangan?

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarrakatu 

Persoalan yang perlu ditanya pada diri sendiri. Ada jawapan "perjuangan mendenya?", "betulkan diri dulu", "takde tima la nak berjuang" bagi penulis perlu dibuang. Bukankah sebahagian manusia di luar sana pernah bertanya, "Apa tujuan kita hidup ekk?" . Penulis yakin mungkin ada pembaca juga pernah terfikir sedemikian, sama juga kepada penulis ketika zaman tak mengetahui dulu. 

Mari kita renungkan ayat Allat s.w.t ini, "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan kepada-Ku." (AQ 51:56) 

Yes, abdikan diri kepada Allah. Jadi bagaimana kita ingin mengabdikan diri? Al-Quran ada 6236 ayat, dan Sunnah Rasulullah juga banyak mengajar kita, so penulis berharap pembaca dapat membuka fikiran dari sini. 

Zaman sekarang, belia-belia malaysia sangatlah aktif, mereka ingin mencari apa yang patut mereka perjuangkan, kerana darah mereka 'panas'. Jadi banyaklah NGO2, pertubuhan, persatuan, malah parti-parti politik yang disertai mereka untuk perjuangkan apa yang mereka inginkan atau apa yang mereka faham supaya dapat mencapai masa hadapan yang lebih baik. Namun ada juga pihak yang menggunakan belia-belia ini sebagai barisan hadapan untuk mencapai sesuatu yang batil atau salah. Sepatutnya sebagai orang dewasa yang mempunyai pengalaman patut membimbing belia-belia ini untuk menjadi insan yang cemerlang dan bukannya memanipulasikan semangat mereka untuk mencapai cita-cita yang menguntungkan sesebuah pihak. 


Apa yang ingin penulis tekankan di sini adalah YA, kita memerlukan perjuangan untuk hidup. Perjuangan untuk menjadi hamba Allah yang diredhai. Bagaimana? AlQuran dan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan. Sabda Rasulullah," Kutinggalkan untuk kamu 2 perkara (pusaka), taklah kamu akan tersesat kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya." (Sebahagian dari khutbah Jumaat Rasulullah pada 9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH) 

Perjuangan demi Agama yang Haq untuk mencapai KESEJAHTERAAN. 

Alhamdulillah
Peace 

Thursday, 16 May 2013

BROTHERHOOD

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarrakatu

Hidup di atas muka bumi ini, kita tidak boleh berdiri dengan kaki sendiri. Biarlah dalam apa jua yang dilakukan, kita kena mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama umpama adik-beradik kandung. Inilah yang dikatakan brotherhood. Allah berfirman, "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. " (AQ 61:4)

Mengikut pengalaman penulis sendiri, bukan mudah untuk mencari sahabat yang sanggup berbuat demikian. Ramai yang bersama apabila senang, dan hanya segelintir yang bersama apabila diri dalam keadaan susah. Mungkin kerana ramai yang tidak faham apakah konsep brotherhood yang sebenar. Tetapi Alhamdulillah penulis berjaya menemui ramai sahabat yang sanggup bersama dalam perjuangan di atas muka bumi ini. 

Memang sudah terbukti, kita dapat capai sesebuah objektif apabila kita bersama. Objektif yang dikatakan disini bukanlah objektif keinginan atau cita-cita sendiri, tetapi kebersamaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Setiap manusia mempunyai dugaan dan pengalaman yang berlainan, namun begitu "Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah."  (AQ 96:2) . Setiap manusia darahnya merah, tidak kira bangsa, kaum, kaya atau miskin, pemimpin atau pengikut, rambut yang bermacam warna, namun kita sama. 

Carilah sahabat yang mempunyai common goal, yang dikatakan common goal ini bukanlah ingin menjadi kaya, atau ingin jadi orang yang berkuasa, atau membuat perkara-perkara yang dilarang Allah, tetapi GOAL yang disebut ini ialah keinginan untuk hidup dalam kesejahteraan, keamanan, dan bahagia. Mengikut pengalaman penulis, ramai mempunyai sifat brotherhood yang kuat kerana hanya ingin mencapai kebahagiaan. Oleh itu, penulis ingin pembaca-pembaca juga tidak kira lelaki atau perempuan(jangan rasa tersisih kerana perkataan 'Brotherhood' ini sebab 'Sisterhood' pon boleh diaplikasikan.) mencari atau bersyukur dengan sahabat-sahabat yang bersama hingga kini. 

Kadangkala background setiap orang berlainan, namun mereka mempunyai semangat brotherhood yang kuat. Kenapa? Kerana mereka pasti pernah hidup susah bersama-sama dahulu. Bagaimana penulis boleh tahu? kerana penulis mempunyai sahabat-sahabat sedemikian Alhamdulillah. Ingat, kita hidup di atas muka bumi ini tidak boleh dengan kaki sendiri. 

Alhamdulillah   

p/s - Sekiranya ada pembaca yang ingin kongsikan pengalaman 'brotherhood' yang boleh penulis sharekan di blog ini, sila emelkan ke razasayang@gmail.com.  


Tuesday, 14 May 2013

Perjuangan

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarrakatu

Setiap manusia di atas muka bumi ini ada benda atau perkara yang mereka ingin perjuangkan. Ada yang perjuangkan kebebasan, ada yang perjuangkan hak beragama, ada yang perjuangkan hak sama rata, dan ada juga yang perjuangkan atas mahunya nafsu sendiri. Penulis di sini bukanlah ingin mengkritik atau judge "pejuang-pejuang' ideologi di luar sana, tetapi penulis berharap dengan entri ini, dapat membuka mata segelintir manusia supaya dapat tahu apa yang patut diperjuangkan sebenar-benarnya. 

Allah berfirman, "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. "  (AQ 51:56) 

Pasti ramai yang pernah nampak ayat Al-Quran ini kan? Namun berapa ramai yang benar-benar faham? Adakah dengan ayat ini sahaja tujuan kita hidup di atas muka bumi ini hanya untuk  bersembahyang 5 waktu? dan aktiviti-aktiviti kita yang lain hanyalah perjuangkan ideologi sendiri supaya dapat hidup seperti apa yang kita mahu?

Kita mahu keadilan, kita mahu kesenangan, kita mahu berada dalam kerajaan yang tidak korup, kita mahu ini, kita mahu itu. Pernah tak kita terfikir apa yang Allah mahu kita buat? Sayang, di akhir zaman ini ramai lupa, termasuklah penulis sendiri. Ada 6236 ayat di dalam Al-Quran dan kita hanya mengambil sebahagian sahaja, oleh sebab itu kita tidak nampak apa yang sebenar-benarnya yang patut kita perjuangkan. 


Rasulullah s.a.w berjuang seumur hidupnya, pada usia baginda 40 tahun wahyu pertama diturunkan Allah, dan selama 23 tahun Islam telah tertegak di Madinah dan Mekah. Cuba kita renungkan, dengan perjalanan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dari awal hingga ke zaman Islam yang menguasai 2/3 bumi. Bagaimana kehidupan pada ketika itu? Bukankah sejahtera? Bukankah manusia berbilang bangsa dapat hidup bersama? Bukankah keadaan ekonomi baik sehingga setiap orang mempunyai peluang untuk mencari ilmu di pusat-pusat pendidikan? Bukankah hak wanita terjaga? Bukankah peratusan fakir miskin rendah? Bukankah pemimpin atau ulil amri bertindak secara adil berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah? Bagaimanakah peribadi masyarakat Islam pada masa itu? Bukankah pendakwah-pendakwah dari tanah Arab sampai ke Nusantara untuk mengajak orang-orang di sini untuk memeluk Islam? Kenapa mereka sanggup berbuat demikian? Kenapa mereka kuat imannya sehingga sanggup untuk meninggalkan kampung halamannya untuk berdakwah ke tempat yang agak jauh? Renung-renungkanlah.

Secara jujurnya, penulis beranggapan pada waktu sekarang, kita berada di peringkat kejatuhan. Zaman Jahiliyah dulu tanam anak perempuan hidup-hidup, zina berlaku di peringkat pembesar atau orang kaya, minum arak pada majlis-majlis yang besar, mengharapkan sesuatu dari berhala. Pada zaman sekarang, tidak kira anak lelaki atau perempuan dicampak dari tingkat yang tinggi, dijumpai dalam lubang tandas, tempat pembuangan sampah, longkang, zina pula berlaku di setiap peringkat dari orang kaya hingga ke orang miskin, malah lebih teruk orang-orang yang sudah berkahwin, arak pula mudah didapati, kebanyakkan manusia juga mengharapkan kepada benda yang selain Allah contohnya duit dan kuasa. 

Jadi kesimpulannya di sini, penulis mengharapkan kita set semula apa yang perlu kita perjuangkan. Adakah perjuangan ideologi-ideologi yang datang dari sangkaan semata-mata atau kita perjuangkan apa mahuNya Allah? Marilah kita kembali kepada fitrah kita sebagai manusia iaitu hamba Allah. Jalankan perintahNya dan tinggalkan laranganNya. Mari kita berjuang dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Dugaannya besar untuk perjuangkan yang Haq ini namun Allah berfirman, 

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (AQ 2:214)


Semoga pembaca semua dapat sesuatu yang manfaat dari entri ini. Penulis memohon maaf sekiranya ada yang terguris atau tidak bersetuju dengan pendapat penulis dalam entri ini, yang baik datangnya dari Allah yang tidak baik adalah kesilapan penulis sendiri yang akan penulis perbaiki insyaa Allah. Dengan ini penulis masukkan sekali video lagu bangun dari ACAB. Alhamdulillah

 

Cuba renungkan hari ke hari
Malapetaka di sana sini
Bencana datang dan juga pergi
Tapi pastikan kembali lagi
Kita masih di awang awangan
Berkhayal dengan kemewahan
hasil usaha peninggalan
Mereka yang telah kita lupakan

Entah apa yang akan terjadi
Bila bencana melanda nanti
Tiada siapa yang peduli
Dalam hidup kita hari ini
Jangan nanti di suatu hari
Menyalahkan sesama sendiri
Bila merdeka tiada erti
Sesalan tiada berguna lagi...

Jangan mudah engkau berkata
Dunia hanya sementara
Untuk kau mundur dan leka
buat selama-lamanya
Jangan nanti di suatu hari
Menyesali apa yang terjadi
Kerana engkau masih bermimipi
Di siang hari...

Bangun..dari tidur
Bangun...orang timur